otak yang hebat bila menulis

BERIKUT keputusan tanpa bahas Muktamar Tahunan PAS ke-61 atas usul hubungannya dengan DAP, maka muktamad diserahkan kepada Majlis Syura.Sementara menunggu Mursyidul Am Dato’ Dr Haron Din menunai umrah di Makkah, Majlis Syura belum bersidang, maka banyaklah PAS disakat oleh DAP dan PAS sibuk melayannya. Justeru, semua seronok melayannya, tidak keliru sekalian orang reda atas politik usul tanpa bahas itu, bahkan menambah keliru masing- masing. Kekeliruan itu tidak baik untuk PAS.


Telah dibuktikan oleh tamaddun manusia sepanjang zaman, banyak bercakap dan suka bercakap mencacatkan kebijaksanaan. Bila banyak bercakap akan 
adalah kesalahannya. Lagi banyak bercakap, lagi banyak salahnya. Semua salah itu tidak memberi apa-apa keuntungan Adalah benar PAS wajar memberi reaksi atas beberapa tindakan DAP termasuk serangan peribadi dan penghinaan kepada pemimpinnya. Mungkin satu kejadian kecil tetapi mengganggu setiakawan antara kedua parti tentang calon timbalan speaker Selangor.

Kedua-duanya tidak setuju tentang beberapa isu dalam krisis menteri besar Selangor dan penyelesaiannya. Perbezaan itu lebih banyak melibatkan PAS dan PKR, tetapi ia tidak meletakkan dua parti itu berkrisis lama. PAS terkilan apabila menteri besar baharu Selangor mengurangkan anggota exco PAS tetapi berpuas hati bila diganti dengan timbalan speaker. Speaker dikekalkan untuk DAP. Tetapi DAP bertanding pula jawatan timbalan speaker. Mungkin ia kejadian kecil tetapi boleh mengganggu setiakawan dan ia tidak menjadi isu sangat.

Perkara besar dan menyentuh prinsip ialah tentang enakmen hudud Kelantan yang hendak dibentang di Parlimen. Ia satu pertikaian besar dan menyumbang kepada krisis itu. Adalah benar hudud bukan suatu yang disetujui bersama. Tetapi satu pengorbanan besar yang PAS buat, moga-moga dapat melunakkan DAP dan Umno ialah meminda enakmen hudud Kelantan itu hingga ia tidak menjadi hudud lagi. Hukuman yang dikehendaki hudud itu tiada lagi seperti potong tangan bagi pencuri dan lain-lain. Hukuman yang tinggal menyamai takzir.

Jika yang asal tidak mandatori bagi bukan Islam, tetapi boleh dipakai kiranya bukan Islam minta diadil di bawah peruntukan undang- undang itu. Dalam pindaan itu bab itu telah dibuang. Amat jelas bahawa PAS telah mengalah atas prinsipnya. Tetapi tidak mengapalah asal status mahkamah syariah dapat ditingkatkan. Apa lagi yang PAS dapat daulatkan peraturan agamanya jika muafakat itu dapat memberi faedah yang sangat minima.
Tetapi PAS tidak menjadikan tidak persetujuan antara kedua untuk meminimakan hubungan dengan DAP. 

Apa yang dirasakan mencolok mata, anggapan dan persepsi PAS, seolah-olah DAP sudah tidak menghendaki lagi PAS dalam Pakatan Rakyat, dan PAS tetap mengira Pakatan ada faedahnya sekalipun amat minima.

Suasana yang ada itu, hatta selepas usul diterima tanpa bahas di muktamar itu, PAS adalah seperti diibaratkan hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong, tetapi masih mengira mahu bersama Pakatan justeru jika tidak dapat semua, memadailah tidak hilang semua dan tidak hilang bisa ular menyusur akar.

Saya terasa PAS jangan tinggalkan Bukit Uhud kecuali Bukit Uhud sudah tidak jadi tempat strategik lagi. Ekoran dari resolusi muktamar itu amat ramai orang yang keliru dengan PAS dan PAS terus disakat oleh DAP. Sementara menunggu Mursyidul Amnya balik dari Makkah, PAS jangan latah dengan semua sakat itu! Eloknya semua diam, biarkan segala sakat dan suara keliru itu jadi seperti anjing menyalak bukit.

Mana ada tanah runtuh dan gempa bumi gara-gara anjing menyalak bukit. Dengan bukit buat bodoh saja, akhirnya anjing pun penat. Hendaklah orang PAS sekarang jadi macam bukit. Doakan Mursyidul Am sihat dan dapat menyempurnakan ibadat umrahnya. Kita wajar yakin Musyidul Am bermunajat di depan Kaabah. Mohon petujuk Allah apa yang terbaik bagi PAS menghadapi cabarannya.Tiadalah tempat yang paling berkat minta petunjuk selain dari di Makkah dan di depan Kaabah. Sekalipun Dr Haron Din ada di muktamar dan mungkin sudah ada pandangan terbaiknya tentang hal yang dihadapi, tetapi meminta petunjuk di Makkah itu, beliau boleh mengukuhkan lagi pandangannya atau membuat kajian semula atas yang pernah difikirkannya. Bukanlah suatu yang mundur bagi seseorang mengubah fikiran. Tunggulah beliau pulang dan sekalian orang PAS jaga mulut.
Saya sendiri dua tiga kali mengubah fikiran tentang usul Dewan Ulama itu. Mula-mula saya teragakagak dengannya. Kemudian terasa ia tidak begitu bijak. Tetapi sekarang saya terasa ia seperti betul. 

Saya tertarik saranan ucapan Presiden. Kita semua mahukan kemenangan, tetapi tidak sekadar kemenangan di dunia tetapi di akhirat melepas. Jangan dapat Putrajaya ibarat untung sekarung tapi rugi seguni, di akhirat tidak dapat apa-apa.

Dalam Pilihan Raya Umum ke- 13 kita sudah buat yang terbaik. PAS dapat kedudukan yang ketiga selepas PKR dan DAP. Dengan Cina/India mengundi PAS dan PAS mengundi DAP, semua kita dapat apa yang kita dapat. Jika kita tiada krisis pun payah bagi PAS dapat lebih baik dari itu dan belum tentu ia akan dapat buat lebih baik dari DAP dan PKR. Dalam krisis ini jika berpanjangan, PAS payah ulangi kejayaan itu. DAP mungkin kekal atau lebih baik.
Tetapi PKR yang menang di kawasan campuran akan lebih susah dari PAS kiranya usaha DAP mengeluarkan PAS dari Pakatan berjaya. Undi PAS akan dibagi pada PAS saja. Tanpa undi PAS, undi Cina untuk PKR mungkin tidak cukup. Orang Melayu atas pagar ratarata mahu hudud. Jika mereka termakan dakwaan Umno yang mereka juga mahu hudud, maka mereka lebih mudah menyokong Umno dari menyokong PKR kerana PKR menyatakan mereka tidak sokong enakman Kelantan itu.

Amat tinggi risiko yang PKR hadapi. Ia lebih payah dari risiko yang PAS hadapi.
Dengan semua serangan yang DAP buat terhadap PAS, kekal dalam Pakatan pun sakit, berada di luar Pakatan pun sakit. Oleh itu saya terasa usul Dewan Ulama itu betul semula. Mat Sabu keluar dari semua jawatan kerajaan di Pulau Pinang pun betul kerana dia mematuhi usul tanpa bahas itu. Jika Majlis Syura mentakrifkan usul Dewan Ulama pun tidak dapat faedah politik juga kira DAP terus menyakat PAS. Kecualilah DAP menghentikan sakatnya kembali bertaut seperti masa PAS setuju meminjamkan lambang pada DAP menjelang PRU13 dulu.

Dan harapan parti baharu untuk menggantikan PAS dalam Pakatan pun belum ada jaminan dapat meraih 10 peratus dari undi PAS. Cukupkah 10 itu dapat membantu calon PKR jika PAS bertanding tiga penjuru di kawasan yang PKR bertanding. Parti baharu itu dapatkah ia memberi bantuan besar kepada DAP bagi mengembalikan kedudukannya semasa berbaik dengan PAS dulu. Tetapi 10 tahun akan datang PAS akan pulih dari kecederaan dan mungkin masa itu pengundi bukan Melayu datang semula kepadanya Ingat PAS elok diam dari berkokok.

Ulasan