Giant Currency born

RENMIMBI future Currency

Kuala Lumpur: Syarikat tempatan perlu memanfaatkan kelebihan Renminbi sebagai penyelesaian urus niaga dagangan dan pelaburan kerana ia dijangka menjadi mata wang dagangan ketiga terbesar dunia pada 2015, kata The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Ltd (HSBC). 
Ketua Pembangunan Perniagaan Renminbi Pasaran Global Asia Pasifiknya, Candy Ho, berkata syarikat tempatan mempunyai kelebihan tambahan memandangkan Malaysia adalah rakan perdagangan terbesar China di ASEAN manakala republik itu sendiri adalah rakan perdagangan terbesar negara. 

Lebihan perdagangan Malaysia berbanding China sejak beberapa tahun lalu membantu membina kecairan Renminbi” Candy Ho, Ketua Pembangunan Perniagaan Renminbi Pasaran Global Asia Pasifik HSBC

“Lebihan perdagangan Malaysia berbanding China sejak beberapa tahun lalu membantu membina kecairan Renminbi dan membuka ruang kepada firma negara ini memanfaatkan beberapa kelebihan yang ditawarkan mata wang berkenaan berbanding urus niaga menggunakan mata wang lain seperti dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media HSBC mengenai perkembangan semasa pengantarabangsaan mata wang Renminbi, semalam.

Ganda kuota pelaburan

Pengawal selia tukaran asing China pada hujung bulan lalu menggandakan kuota pelaburan Renminbi untuk Bank Negara Malaysia. 
Bank Negara diberikan kuota tambahan lesen pelabur institusi asing berkelayakan (QFII) berjumlah AS$600 juta yang menjadikannya pengurus kelapan mempunyai kuota mencecah AS$1 bilion, sekali gus menyertai beberapa bank pusat atau pengurus utama lain seperti Government of Singapore Investment Corporation dan Lembaga Monetari Hong Kong.
Bank pusat itu memperoleh QFII untuk melabur dalam saham serta bon China berasaskan Renminbi pada 2010.

Ho berkata, kelebihan utama Renminbi berbanding penggunaan urus niaga dalam dolar AS adalah mata wang China itu mempunyai kadar turun naik yang lebih rendah berbanding mata wang AS.

Katanya, berdasarkan perbandingan sejak 10 tahun lalu, perubahan Renminbi berbanding ringgit hanyalah sekitar 10 peratus manakala 20 peratus yang direkodkan oleh dolar AS.

“Paras turun naik tukaran asing yang agak stabil itu menyebabkan kos lindung nilai yang lebih rendah serta menguntungkan,” katanya.

Diskaun tukaran asing

Beliau menjelaskan, manfaat yang akan diterima pengimport tempatan jika menggunakan Renminbi semasa berurus niaga antara lain adalah dari segi meningkatkan hubungan dengan pembekal, potensi mendapatkan diskaun tukaran asing daripada syarikat China serta membeli Renminbi pada nilai diskaun untuk pasaran hadapan.

Bagi pengeksport pula katanya, mereka berupaya mengembangkan asas pengimport di China, melindung nilai pendedahan tukaran asing dalam pasaran Renminbi serta melabur lebihan kecairan produk luar pesisir lain.

“Syarikat hanya perlu memastikan mereka memasuki pasaran dan produk yang betul,” katanya.

Perangkaan semasa menunjukkan Renminbi kini adalah mata wang perdagangan ke-11 terbesar dunia berbanding di tempat ke-30, tiga tahun lalu.

Ketika ini, 12 peratus atau kira-kira AS$500 bilion (RM1.63 trilion) aliran dagangan China diurus niaga menggunakan Renminbi.

HSBC menjangkakan angka itu akan meningkat kepada 30 peratus atau AS$2 trilion (RM6.51 trilion) pada 2015.

Ia bakal menjadikan Renminbi mata wang perdagangan ketiga terbesar dunia selepas dolar AS dan euro dalam tempoh dua tahun lagi.

Kerajaan China dijangka melakukan lebih banyak pembaharuan dalam pasaran mata wangnya dengan keupayaan penukaran Renminbi menjadi agenda utama dalam tempoh terdekat.

Ulasan