geng barua dap dalam pas sepatutnya sudah dipECAT

ALOR SETAR: Tokoh ulama PAS Negeri Kedah, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan melontarkan peringatan bermakna untuk direnungi seluruh anggota Harakah Islamiyah PAS berhubung pendirian dan tindakan terhadap situasi dalaman yang sedang melanda jamaah masa ini.

Menurutnya, terdapat empat kewajipan utama pemimpin dengan perkara pertama adalah ‘tanfizu syariah’ iaitulah meluluskan syariah sekadar boleh dan termampu, di mana hasrat itu tidak ada pada parti Islam baharu yang disebut-sebut akan ditubuhkan.

Kedua ujarnya, ‘masyru dakwah’ iaitulah mengibarkan dakwah seluas-luasnya dan ketiga adalah ‘au qadau ala tawarih’ yakni segera menyelesaikan segala bentuk penyelewengan terutama di dalam jamaah.

“Saya tengok terlalu lewat bertindak dari pimpinan. Semua yang ternyata bawa cela (kerosakan) tak patut lekat (berada) dah, bagi saya jangan taruh (simpan) dah. Puak ni taruh jadi bahaya, jadi duri dalam daging,” tegas beliau yang dikenali dengan julukan Tuan Guru Awang Lanai.

Manakala keempat katanya, ‘idadu jaish ‘ila ikalimatillah’ iaitulah menyediakan sebanyak mungkin tentera atau kumpulan tenaga kerja untuk meninggikan kalimah Allah.

Beliau turut memetik takrif kepimpinan oleh Imam Al-Mawardi RA dari kitab Ahkamu Sultaniah yang bermaksud “Kepimpinan diasaskan sebagai pengganti Nabi-nabi meneruskan sistem pemerintahan dalam menjaga agama dan urus tadbir dunia dengan hukum hakamnya dan pegangan mereka di tengah-tengah ummah adalah wajib disepakati”.

Perkara itu terangnya, telah tercatat sejak tahun 450 Hijrah lagi, malangnya ulama-ulama di dalam Umno membutakan mata dan membisu terhadap perkara itu kerana menjaga periuk nasi dan kepentingan peribadi.

“Ini sebab depa (mereka) belajar (agama) mula tujuan macam tu dah. Sebab tu saya pesan kepada pelajar kita yang pergi mengaji luar negeri, jangan niat pergi belajar tu untuk nak cari makan gaji, nampak kuasa dan sebagainya.

“Siapa yang niat tujuan dia belajar (agama) macam tu, Allah akan turunkan dia tiga bala. Yang pertamanya dibalakan dengan jawatan. Kedua Allah letakkan dia dipinggir negeri di tempat tidak ada orang boleh kira berbicara.

“Bala ketiga Allah Taala matikan ketika umurnya muda lagi, tak sampai had pencen akan mati awal. Jadi yang belajar kerana tujuan tu, tengok dalam kitab Ihya’ Ulumuddin Imam Ghazali sebut nasihat ni kepada pelajar-pelajar.

“Jadi, pergi luar negeri kena niat elok nawaitu. Ingat niat nampak habuan besar, balik rupanya jumpa tiga bala ni,” ujar Mudir Pondok Tahzibun Nufus Lanai, Parit Panjang.

Kerana itulah katanya, pemilihan pemimpin dalam Islam, apatah lagi jamaah Islam, mestilah mereka yang ahli agama dan sekiranya tidak, bermakna parti atau kumpulan tersebut hanya ada Islam pada nama semata-mata.

Malah menurutnya, sebagaimana pemimpin itu adalah pengganti Nabi menjaga agama dan politik dunia, maka perlantikan pemimpin di kalangan umat juga wajib dengan ijmak ulama.

Beliau yang berpengalaman hampir 30 tahun sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Baling turut menggesa pimpinan agar segera bertindak terhadap semua anasir di dalam jamaah dan akuinya pernah menyampaikan perkara tersebut kepada pimpinan.

“Jangan bela, jangan beri layanan langsung kepada puak-puak baru timbul ini sama ada PasMa, G18, kena pisah hapus jangan bagi sempat tumbuh.

“Dalam hadis riwayat Muslim ada kata, “Barangsiapa yang datang kepada kalian sedang urusan kalian berada di tangan seorang lelaki (pemimpin), lalu dia hendak memecah belah ikatan kesatuan dan mencerai beraikan jamaah kalian, maka bunuhlah dia”.

“Nabi suruh bunuh kumpulan yang datang bawa mari Parti Islam dasar Islam juga. Dia mari ajak kita sokong, maka kumpulan baru itu untuk memecah belah, akan hilangkan kekuatan jamaah, Nabi suruh bunuh, jangan taruh.

“Kalau ada kuasa bunuh, tak ada kuasa kita halang jangan biar dia merebak. Ini hadis sahih Muslim, saya bacakan depan pimpinan tu. Tapi orang tak percaya hadis dan Quran payah kira. Orang ni tak sah untuk lantik pimpinan,” tegasnya menyandarkan ketegasan hukum berdalilkan ayat 105 surah an-Nisa’.

Katanya, Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam pemerhatiannya mengambil pandangan mereka daripada golongan bukan Islam terutama DAP berdasarkan sikap berdiam diri anggota GHB tatkala DAP menyerang pimpinan PAS, di mana diam itu adalah tanda setuju.

Sedangkan katanya, serangan DAP itu adalah kepada para alim ulama dan dasar Islam yang diperjuangkan PAS.

Beliau menggesa agar golongan seperti itu jangan dibawa masuk ke premis dan entiti jamaah serta dijauhi.

Membaca petikan kitab, Tuan Guru menyebut, mendepani gerak kerja jamaah adalah wajib atas setiap Muslim dan mengerjakannya dan melunasinya adalah tanggung jawab yang dituntut serta dipertanggung jawabkan di hadapan Allah.

“Akan ditanya kamu kerja tak untuk kuatkan jamaah Islam. Tuhan akan tanya kamu buat tak kerja ni? Tahap mana kamu kerja? Itu saja akan ditanya. Kita hidup atas muka bumi kuatkan tak jamaah Islam?

“Ini kadang-kadang tak ambil tahu langsung masalah jamaah Islam nak hidup atau mati, senyap saja. Nabi kata, “Setiap amalan dicatat dan dipegang dengannya pertanggung jawaban atas mereka”.

“Kerana inilah Islam seru kita untuk tempatkan diri dalam jamaah dan tegah untuk pencilkan diri ketika adanya jamaah. Kalau tak ada, wajib kita bantu tubuhkan jamaah. Jelas kena ada jamaah sehingga kalau pemimpin menyeleweng sekalipun, zalim sekalipun tetap kena duduk dalam jamaah,” terang beliau.

Tuan Guru turut membacakan hadis Nabi di mana menegaskan sesiapa keluar dari jamaah yang telah terpimpin maka boleh dipenggal lehernya kecuali ia kembali kepada jamaah dengan menegaskan bahawa hadis itu kuat kerana terdapat dalam Musnad Imam Ibnu Hambal, Sunan Tarmizi dan Sahih Muslim.

Jelasnya, terjadinya perkara-perkara sedemikian adalah disebabkan berjuang dengan tidak berpandu al-Quran dan hadis serta berjuang mementingkan jawatan dan kebendaan, bukan menuju akhirat. - HARAKAHDAILY 

Ulasan