harapan PAK SUBKY

TIADA apa yang menghalang Harapan Baru ditubuhkan. Ia ada pemimpin, ia ada penyokong dan ia ada kawasan untuk bergerak. Dan ia sudah tidak dirahsia dan tidak segan-sesgan untuk ditubuhkan. Bila-bila masa saja boleh ditubuhkan.
     
Tetapi eloklah jika ia tidak jadi ditubuhkan, bukan kerana takut dimarah oleh pemimpin dan orang PAS. 

   
Pada masa ini menubuhkannya bukan lagi payah, bahkan amat senang. Tetapi yang payah pada Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub ialah membatalkannya kerana semua orang tahu mereka hendak menubuhkannya.
   
Tidak jadi menubuhkannya itu kerana tidak ada dana cukup untuk mengendalinya, bukan justeru ia tidak mendapat sambutan dan tergendala seperti lain-lain serpihan parti. Tidak jadi menubuhkannya adalah tindakan paling betul.
   
Bukan tidak jadi menubuhkannya menjadikan Mohamad Sabu dan Salahuddin orang yang tidak berani. Bercadang menubuhkannya pun sudah jadikan mereka berani, tetapi tidak jadi menubuhkannya akan jadikan mereka lebih berani.

Berani menubuhkannya hanya memecahkan parti Islam yang mereka bina selama lebih 40 tahun. Tetapi keberanian membatalkannya akan menyatukan parti yang mereka cintai dan keluarga mereka cintai.
   
Kerana cintanya kepada parti itu banyak kali mereka ditahan dan banyak kali cedera diburu polis. Ratus ribu ahli yang lain tidak pernah ditahan dan tidak pernah dibelasah polis, tetapi mereka kurang kepahlawanannya boleh mati dalam PAS, dan malangnya kepahlawanan Mat Sabu dan rakan-rakan memilih mati di luar PAS.
    
Saya tahu PAS berkrisis besar. Saya acap nyatakan dalam ucapan dan tulisan harapkan ia diselesaikan tanpa menggugur barang seorang ahlinya yang sejuta itu. Pada Muktamar yang terbaru semua menyaksikan ahli baru yang ke sejuta. Patutnya lepas muktamar itu parti sejuta itu bertambah. Tetapi dengan menubuhkan  yang baru kembali kurang dari sejuta.
    
Tiada siapa yang untung parti itu berpecah, bahkan semua kerugian seperti – “sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan kepada kebenaran dan kesabaran”.
   
Dalam krisis itu ada yang marah Mat Sabu, tetapi Ustaz Hadi pun ramai yang marah. Semua pemimpin PAS dulu dan sekarang peranah dimarah oleh ahlinya. Pak Yusuf Rawa ada yang marah. Ustaz Fadzil pun ada yang marah. Maka Mat Sabu tak boleh pula sangat marah keluarga itu, semua mereka yang dimarah itu adalah marah sayang.
    
Mat Sabu itu asalnya orang Anwar dalam ABIM. Atas sebab tertentu Mat Sabu amat marah pada Anwar. Sebagai pemimpin PAS, Matlah paling marah pada Anwar. Sesudah Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi hilang marah pada Anwar, Mat menyambung memarahnya hingga ada ceramahnya dua jam lebih seorang saja mengecam Anwar di Markas Tarbiyyah. Kemudian dia jadi elok dan tak marah lagi pada Anwar. Jika dia boleh hilang marah pada Anwar, tentulah boleh hilang marah juga pada Ustaz Hadi dan golongan proulama dalam PAS.
     
Apabila Mat Sabu dan rakan-rakannya hendak menubuh parti baru nescaya pecah PAS, tak kira terbelah, sompek atau serpih. Tentunya semua marah pada Mat Sabu dan rakan-rakan. Tetapi politik dan dakwah itu ada seninya.

Marah Nabi SAW pada Abu Sufian, Allah dan rasul-Nya saja yang tahu. Ketika baginda hendak membebaskan Mekah, bapa saudaranya Abbas menasihatkan baginda, betapa Abu Sufian itu suka dihormati, buat apa saja yang dapat dilihat Abu Sufian dihormati.
   
Baginda pun bersabda, dijamin selamat siapa yang berlindung di rumah Abu Sufian. Lalu dia tidak menentang rombongan baginda membebaskan Mekah. Mulanya isterinya, Hindun marah Abu Sufian beriman. Akhirnya Hindun beriman sama. Dengan seni politik itu menambah mudah Mekah dibebaskan.
    
Jika ada sebarang marah PAS pada kumpulan 18, tunjukkan seni menghormati Mat Sabu dan rakannya, mungkin ada harapan Harapan dibatalkan. Jika ditanya Anwar usaha menubuhkan Harapan, Anwar pun mungkin tidak suka. PAS itu parti akidah. Saya tidak mahu kata membatalkan harapan itu menyelamat akidah. Saya hanya hendak kata, bagi menyelamatkan Mat Sabu dan rakan-rakannya.
    
Jika Harapan tak jadi, PAS mereka dapat diselamatkan dan PAS pun selamat. Yang semua mahu PAS jadi parti selamat.

Ulasan