PKR BERLAGAK MACAM HERO BANGSAWAN

Dua tuduhan rambang PKR berbunyi ‘PAS Terengganu injak dan buli PKR’ dan ‘Sabotaj PAS punca kekalahan PKR di Pengkalan Kubor’ mengajak saya untuk menulis catatan ini. 

Saya menulis berdasarkan pengalaman PAS Kawasan Setiu umumnya dan PAS Dun Permaisuri, DUN yang pernah ditandingi PKR dalam PRU 12 dan PRU 13 secara khususnya dalam melayan karenah rakan Pakatan Rakyat berlambang bulan sabit ini. 


Sebelum itu perlu dimaklumi bahawa Parlimen Setiu mempunyai seramai lebih 67 ribu pengundi dengan DUN Permaisuri sahaja yang telah 2 penggal berturut-turut ditandingi oleh PKR mempunyai lebih 20 ribu pengundi. 

PKR Cabang Setiu yang cuma bertaraf Jawatankuasa Penaja serta bermasalah dengan Perhubungan PKR Negeri Terengganu mempunyai ahli yang bilangannya yang tidak mencukupi 50 orang. Bayangkan dari seramai 20 ribu pengundi , calon yang bertanding mewakili parti yang hanya mempunyai ahli tak sampai setengah ratus orang untuk satu kawasan parlimen. Dalam DUN Permaisuri sendiri adalah beberapa belas orang. 

Saya pernah bertanya rakan dalam PKR, “Sebab apa PKR Cabang Setiu cuma bertaraf Jawatankuasa Penaja sahaja, bukannya cabang rasmi?” Jawab mereka, “Sebab kami tak buat mesyuarat agong sampai 3,4 tahun. Bila sampai tahun pilihanraya umum baru kami buat mesyuarat. Sebab tu Jawatankuasa PKR Cabang Setiu dibatalkan.” 

Menjelang PRU 13, pemilihan calon PKR bagi DUN Permaisuri oleh pimpinan tertinggi parti mereka yang tidak direstui oleh PKR Cabang Setiu menyebabkan wujudnya konflik dalaman yang parah sehingga orang PKR Permaisuri sendiri kempen supaya jangan undi calon PKR! Calon diugut dengan diminta itu dan ini diluar kemampuan beliau, dituduh makan pitih dan sebagainya sehingga beliau terpaksa menjadikan menjadikan PAS sebagai tempat berlindung. 

Saudara Azhar Jusoh yang ketika itu merupakan Ketua Unit Peti Undi (UPU) PAS Merang, satu dari UPU dalam DUN Permaisuri mengungkapkan kepada saya bagaimana Jawatankuasa UPU PAS Merang secara 110% bertukar menjadi Jawatankuasa UPU PKR Merang. Kerana kebetulan calon berkenaan berasal dari Kampung Merang. Duit pengundi luar yang berjumlah puluhan ribu ringgit semuanya dari titik peluh PAS. 

Saya tanya saudara Azhar yang sekarang ini merupakan Naib YDP PAS Setiu, “Dari mana duit tersebut dikumpulkan?” Jawab Saudara Azhar, “Dari pelbagai sumber termasuk pinjaman dari individu-individu dalam PAS. Duit poket calon juga disediakan oleh PAS dan disebabkan calon menerima ugutan dari anggota PKR sendiri, PAS menyediakan kawalan keselamatan dari Unit Keselamatan PAS dan biaya anggota tersebut 100% ditanggung oleh PAS.” 

Saudara Azhar menyambung lagi, “Saya sendiri sebagai Ketua UPU PAS Merang membelanjakan lebih RM20k peruntukan peribadi untuk membantu kempen calon PKR. Sebab itu bila timbul tuduhan jahat sebegini, saya tak dapat tidur lena.” 

Pernah berlaku dalam tempoh kempen PRU 13 lalu, calon PKR Dun Permaisuri diugut untuk dipukul oleh orang-orang PKR sendiri semasa mengunjungi Pos Pilihanraya PKR lantaran beberapa kehendak mereka tidak dipenuhi oleh calon sehingga terpaksa dilindungi oleh petugas keselamatan PAS. Diulangi sekali lagi, bukan diugut oleh petugas PAS tetapi diugut oleh petugas PKR! 

Saya tak berminat menyenaraikan apa yang telah sedia dimaklumi umum dari urusan tampal poster, pasang bendera, dirikan pos dan markas serta pelbagai lagi. Kalau bukan dari hasil tangan petugas PAS jawabnya tak akan kelihatan pos dan markas PKR. 

Data culaan pengundi pun mereka nak minta dari PAS sedangkan data ini adalah rahsia bilik gerakan parti yang hanya boleh dilihat oleh petugas yang berkenaan sahaja. 

Malah perlu diketahui, dalam PRU 12, deposit calon pilihanraya PKR Terengganu juga dibayar oleh PAS Terengganu yang khabarnya telah dilesapkan oleh calon mereka. Duit poket yang sepatutnya diagihkan kepada pos dan markas pilihanraya juga diberikan oleh PAS Terengganu kepada calon PKR tetapi tak sampai pun ke tempatnya. Entahlah… mungkin senyap dalam poket calon. Rujuklah dengan PAS Kemaman dan PAS Dungun kerana mereka ada detail tentang perkara ini. 

Nah! Berdasarkan catatan senario ringkas ini, siapa yang buli siapa sebenarnya? Siapa pula yang injak siapa? Masalah dalaman PKR, sila selesaikan secara dalaman. Tetapi oleh kerana perkara ini telah tersebar kepada umum, maka jawapan kepada umum adalah satu keperluan. Kita tak berminat nak mendedahkan kelemahan sesama rakan PR kecuali kerana rakan PKR ini sangat berhajat supaya kelemahan mereka didedahkan. 

Kepada perwakilan Terengganu yang mengadu sambil menangis dalam Kongres PKR, saya nasihatkan “Kalau kita berhati tisu, tak payah masuk politik!”

Ulasan

Catat Ulasan